Prosedur Operator Radio Amatur
Posted by 9w2bba on 29 January 2008
Nasihat yang terbaik kepada Operator Radio Amatur Yang baru lulus ujian rae dan telah mendapatkan Lesen Peruntukan Radas mereka ialah dengan hanya menghidupkan radas dan mendengar. Mendengar seberapa seberapa banyak perbualan (QSO) yang anda boleh. Mendengar bagaimana mereka ke Udara dan mengendalikan transmisi mereka. Cari dan pelajari cara yang betul ambil sebagai panduan dan cara yang tidak sesuai sebagai sempadan. Apabila anda rasa selesa dan yakin, hidupkan radas anda dan buat panggilan pertama anda. Anda akan merasa terkejut dan amat berpuas hati dengan panggilan pertama anda (panggilan/Kontek Perdna).
Sementara anda mendengar di jaluran dan memerhati cara operator-operator berkomunikasi antara satu sama lain, sudah pasti anda akan terdengar operator-operator yang tidak mempamirkan cara pengendalian baik dan betul. Sebagai seorang operator Radio Amatur yang terlatih kita akan dapat membezakan mana yang buruk dan baik untuk diikuti, bertanya itu adalah kunci untuk satu budaya yang baik dan dihormati. Kita boleh kenal pasti mereka ini sebagai “Syok Sendiri” (SS), yang pastinya mereka tidak bersedia untuk ditegur jika tidak menampakan usaha untuk mengubah cara mereka semasa ke udara. Saya tidak pasti adakah sesuai gelaran ini untuk mereka, tapi yang pasti gelaran ini akan menjejaskan kredibiliti mereka sebagai salah seorang warga Radio Amatur. Tidak ada sesiapa pun diantara kita yang ingin dikategorikan sebagai “SS”. Untuk memastikan perkara ini tidak berlaku kepada diri atau rakan-rakan and, belajar dan peraktikan cara yang betul untuk memastikan anda sentiasa digemari dan dihormati bila ke udara.

